Hulu Langat: “Bersolat dan memperbanyakkan membaca al-Quran amat membantu memulihkan semangat anak-anak ini,” kata Mohd Hambali Ismail, 39, yang bertugas sebagai Warden Hal Ehwal Pelajar (HEP) di Pertubuhan Amal Rumah Anak Yatim dan Hidayah Al-Hijrah (RAYDHA) di sini.

Dia yang berkhidmat di rumah anak yatim itu sejak 2008 berkata, sejurus selepas kejadian semua penghuninya menumpang di Lembah Azween Resort sebelum ke premis milik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tidak jauh lokasi kejadian selama kira-kira setahun.

Katanya, pada waktu itu suasana sedih dan trauma menyelubungi anak-anak terbabit.

“Memang sukar, tetapi itulah dua perkara penting kami pupuk kepada pelajar-pelajar terbabit, alhamdulillah mereka semakin kuat semangat,” katanya kepada Harian Metro di sini, baru-baru ini.

Mohd Hambali berkata, kelebihan anak-anak yatim dan hidayah pertubuhan itu walaupun kehidupan mereka tidak sempurna seperti kanak-kanak serta remaja lain tetapi tetap berpotensi untuk maju dalam hidup.

Sikapnya yang suka kepada kanak-kanak, menjadikan dia sangat rapat dengan penghuni rumah itu sejak dulu.

Katanya, mereka dididik supaya boleh berdikari dari bangun tidur sehinggalah kembali ke katil masing-masing.

Setiap daripada mereka, diajar hidup seperti adik-beradik dengan harapan setiap kepahitan yang dilalui dapat dilupakan selain dijadikan pengajaran.

“Mereka ini adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan selain itu saya suka dalam suasana beramai-ramai seperti ini bersama anak-anak ini setiap masa,” katanya.

Dia yakin penghuni di rumah berkenaan mempunyai masa depan yang cerah.

Kata Mohd Hambali, ini dibuktikan dengan setakat ini tiga daripada mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke Menara Gading.

Matlamat RAYDHA, katanya, mendidik penghuninya berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.

“Jadilah apa pun asalkan beriman dan mengikut keupayaan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:10 AM