Khalid (dua kanan) dan timbalannya, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (kanan) beramah mesra bersama pegawai yang menerima kenaikan pangkat.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Purata 24 kematian setiap hari dicatatkan sejak Op Selamat 7/2015 dilancarkan Jumaat lalu, sekali gus merekodkan peningkatan berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 37.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2014.

“Ini adalah berita dukacita, sehingga hari ini (semalam) iaitu hari keempat Op Selamat dijalankan, sebanyak 95 kematian dicatatkan.

“Pada tempoh sama tahun lalu, sebanyak 69 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai di Bukit Aman, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 23 pegawai kanan menerima pemakaian pangkat masing-masing membabitkan lima pegawai dinaikkan pangkat kepada senior asisten komisioner (SAC), 17 pegawai ke asisten komisioner (ACP) dan seorang ke Superintendan.

Khalid berkata, pihaknya mempertingkatkan penguatkuasaan di lokasi yang sering berlaku kemalangan maut.

“Kita menempatkan pegawai dan anggota di kawasan yang sering berlaku kemalangan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan berhati-hati di jalan raya bagi mengelakkan angka kemalangan terus meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:08 AM