X
LAMAN portal sehenti bagi menyalurkan dan berkongsi maklumat kes kehilangan kanak-kanak.
LAMAN portal sehenti bagi menyalurkan dan berkongsi maklumat kes kehilangan kanak-kanak.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memuji tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan portal sehenti bagi menyalurkan dan berkongsi maklumat kes kehilangan kanak-kanak sebagai langkah yang positif.

Menerusi laman Facebooknya, beliau berharap inisiatif dilakukan itu akan membuahkan hasil bagi mengesan semula kanak-kanak yang dilaporkan hilang di seluruh negara melalui kerjasama padu masyarakat.

“Portal ini http://knk2hilang.rmp.gov.my, inisiatif yang baik oleh PDRM. Mudah-mudahan usaha mencari kanak-kanak yang hilang lebih berjaya dengan bantuan dan maklumat orang awam,” katanya.

Portal berkenaan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada polis untuk diambil tindakan dan penyiasatan.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim ketika melancarkan portal itu dipetik berkata, ia boleh digunakan orang ramai untuk menyemak data kanak-kanak hilang secara terus.

Menurutnya, portal itu diwujudkan dalam laman web PDRM bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk bekerjasama mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat dan yakin ia berkesan.

Menerusi portal itu, maklumat disalurkan masyarakat dapat diakses pegawai penyiasat dan tindakan segera dapat diambil selain ia juga mempercepatkan hebahan berkaitan kes kehilangan kanak-kanak dapat dilakukan.

Sementara itu, dalam catatan di laman Twitter Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata, amalan bersedekah bukan saja dapat membantu mengurangkan beban penerima tetapi mampu mengeratkan ukhuwah sesama Islam.

Beliau turut berkongsi mengenai kunjungan hormat anggota alumni antarabangsa Universiti Al-Azhar Malaysia di pejabatnya petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:04 AM
Digital NSTP Subscribe