PEGAWAI kastam mengiringi tiga pekerja kilang yang dibicarakan, semalam.
PEGAWAI kastam mengiringi tiga pekerja kilang yang dibicarakan, semalam.
Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Mahkamah Majistret, di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM75,000 terhadap seorang pekerja kilang ais selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki pelbagai jenis rokok tidak sah bernilai RM6,430.

Majistret Mohd Azhar Hamzah menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh Lim Chun Hui, 24.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim didakwa memiliki barangan larangan kastam bernilai RM6,430 di sebuah premis di Taman Sri Ampang, Jalan Kilang Tebu, di sini, pada jam 2.45 pagi, 9 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki pelbagai jenis rokok yang diklasifikasikan sebagai barangan larangan di bawah perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2012.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki 384 karton rokok jenama Saat, Gudang Garam Surya 12 batang (4), Gudang Garam Surya 16 batang (1), Gudang Garam Surya 20 batang (2), John White 20 batang (3), John 16G 20 batang (3) dan John 20 batang (2).

Sementara itu, di mahkamah sama, dua rakan tertuduh iaitu Yap Winson, 27, serta Ong Ann Beng, 28, masing-masing pekerja kilang turut menghadapi pertuduhan sama.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii) akta sama yang memperuntukkan denda minimum 10 kali ganda nilai barangan dan denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Azhar kemudian menetapkan hukuman penjara selama enam bulan terhadap Lim jika gagal membayar denda, manakala dua rakannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Terdahulu, wakil peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman denda dengan jumlah minimum berikutan ketiga-tiga mereka hanya bekerja kilang dengan pendapatan antara RM1,200 dan RM1,300 selain mempunyai tanggungan keluarga.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah Suriati Yahaya, manakala mahkamah menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes terhadap dua tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:06 AM