NUR Shafiqah Hidayu lumpuh seluruh badan disebabkan terjatuh dari tingkat 5.
NUR Shafiqah Hidayu lumpuh seluruh badan disebabkan terjatuh dari tingkat 5.

Kuala Lumpur: “Biarpun Nur Shafiqah bukan darah daging saya tetapi dia sudah dianggap seperti cucu kandung sendiri.

“Kami sekeluarga akan menjaganya selagi terdaya dan berdoa semoga suatu hari nanti, Nur Shafiqah akan beransur pulih seperti sedia kala,” kata Latifah Ahmad, 60.

Warga emas itu adalah nenek tiri kepada remaja, Nur Shafiqah Hidayu Alwi, 17, yang lumpuh selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah flat di Seremban, akhir tahun lalu.

Menurut Latifah, anaknya, Nurazila Bahrum, 35, mengahwini ayah Nur Shafiqah, Alwi Isa, 40, kira-kira enam tahun lalu dan ketika itu remaja berkenaan masih di bawah jagaan ibunya di Seremban, Negeri Sembilan.

Namun, kejadian malang yang menimpa itu menyebabkan Nur Shafiqah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain patah pinggul dan kaki, menyebabkan dia hilang upaya dan terlantar sehingga kini.

Kata Latifah, memandangkan ibu kandung Nur Shafiqah bekerja, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk menjaga remaja terbabit dan membawanya ke ibu negara.

“Saya dan suami sanggup menjaga Nur Shafiqah kerana tidak sampai hati jika dia dijaga oleh orang luar memandangkan ibu kandungnya terpaksa bekerja untuk mencari rezeki,” katanya ketika ditemui di rumahnya di PPRT Batu Muda, Jalan Ipoh, di sini.

Menurut Latifah, Nur Shafiqah memerlukan penjagaan rapi kerana dia perlu mengambil pelbagai jenis ubat dan vitamin tambahan mengikut waktu ditetapkan.

“Pada sebelah siang, saya dan suami Bahrum Bidin, 67, akan bergilir menjaga Nur Shafiqah manakala di sebelah malam, Nurazila akan membantu selepas pulang daripada kerja.

“Bagaimanapun jika saya demam atau selesema, Nurazila perlu mengambil cuti untuk menjaga Nur Shafiqah kerana saya tidak boleh mendekatinya,” katanya.

Sementara itu Nurazila berkata, meskipun bergelar ibu tiri namun Nur Shafiqah tetap ditatang bagai minyak yang penuh kerana dia hanya memperoleh anak sendiri selepas lima tahun berkahwin.

“Saya sekeluarga berdoa setiap hari supaya kakak (Nur Shafiqah) dapat kembali pulih seperti biasa untuk bermain dengan adik-adiknya,” katanya.

Menurut kakitangan bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta itu lagi, penderitaan anak tirinya mendapat perhatian pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang tampil memberi bantuan lampin pakai buang dan susu formula khas setiap bulan.

Selain itu, Nur Shafiqah turut menerima bantuan katil, kerusi roda dan peralatan menyedut kahak daripada pihak terbabit.

Kata Nurazila, dia bersyukur kerana pihak Baitulmal prihatin dengan nasib Nur Shafiqah kerana pendapatannya dan suami hanya mampu untuk menampung keperluan harian keluarga terbabit saja.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga Nur Shafiqah, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Bahrum Bidin, 14069020444735.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 6:02 AM