Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: “Sudah dua tahun dia tidak pulang melawat saya. Sebaliknya samseng along (ceti haram) yang sering muncul untuk membaling bom cat minyak,” luah wanita warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Chen, 60.

Menurutnya, anaknya, Yee, 23, dipercayai berhutang dengan along menyebabkan dia melarikan diri daripada rumah di Cheras di sini.

“Sudah banyak kami samseng along muncul dan menyimbah cat merah dan hijau ke dinding rumah serta kereta seorang lagi anak perempuan saya.

“Mereka (samseng along) sengaja mahu memalukan kami apabila perbuatan itu turut dilihat jiran,” katanya ketika ditemui di pejabat Biro Aduan Awam MCA, kelmarin.

Menurutnya, Yee tidak lagi tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu dan mereka sekeluarga juga gagal menghubunginya selepas itu.

Dia mendakwa hanya mengetahui pekerjaan terakhir anaknya sebagai penyelia teknologi maklumat di sebuah syarikat tempatan.

Menurutnya, dia terpaksa membuat tiga laporan polis selepas bimbangkan keselamatan mereka.

Sementara itu Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, sebanyak 333 kes along membabitkan hutang pinjaman RM40 juta dilaporkan mangsa kepada pihaknya sepanjang tahun lalu.

“Perkembangan kes ini sangat membimbangkan terutama apabila ahli keluarga peminjam akan menjadi mangsa gangguan kumpulan along yang datang menagih hutang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 6:57 AM