Richard (dua kanan) menyampaikan sijil kepada Nur Afiqah Azizan.

Shah Alam: Kementerian Sumber Manusia yakin kadar pengangguran sebanyak 2.9 peratus atau 399,500 orang akan kekal bergantung kepada perubahan ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, berdasarkan laporan Jabatan Tenaga Kerja tahun lalu, kadar itu tidak membimbangkan kerana masih di bawah empat peratus.

“Kementerian mensasarkan sebanyak 1.5 juta pekerjaan baru akan diwujudkan menjelang 2020 seperti Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sekali gus membolehkan kadar ini dikurangkan.

“Sebanyak 300,000 peluang pekerjaan pada setiap tahun bakal diwujudkan bermula pada tahun ini diharap dapat menurunkan kadar sedia ada,” katanya pada sidang media Majlis Konvokesyen Skim Perantisan dan Pelancaran Video Skim Perantisan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad CM Vignaesvaran dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Richard berkata, kementeriannya turut mensasarkan mencapai peningkatan peratusan pekerja mahir sebanyak 35 peratus menjelang 2020.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti pelajar berpotensi dan berminat menceburi bidang kemahiran.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Richard menegaskan bahawa Sarawak akan terus kekal dalam Malaysia.

Menurutnya, mereka tidak dapat menghalang perhimpunan terbabit yang dibuat sempena sambutan kemerdekaan Sarawak kelmarin anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Sarawak akan terus kekal bersama Malaysia dan tidak ada sebab negeri itu perlu keluar dan merdeka bersendirian seperti yang dituntut pihak tertentu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan penganjur perhimpunan ‘Sarawak for Sarawakians’ atau S4S perlu bersedia dikenakan tindakan undang-undang kerana berdegil meneruskan penganjuran walaupun diberi amaran keras oleh polis.

Setakat ini polis menjalankan siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 kerana ia tetap diadakan walaupun amaran supaya perhimpunan itu dibatalkan sudah diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 8:38 AM