RAEF Uqael kini menerima rawatan di PICU Shanghai Children Medical Center, China.
Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Tiada baju raya mahupun sebarang sambutan, raya tahun ini bagai tak ada erti bagi kami. Sejak dua bulan lalu hospital inilah rumah kedua kami.

“Setiap hari, kami hanya berendam air mata memikirkan Raef yang bergadai nyawa kerana keadaan kesihatannya kerap tak menentu,” kata Noraini Jaafar, 37, ibu kepada Raef Uqael Mohd Rosli, berusia empat tahun.

Raef Uqael disahkan menghidap penyakit Biliary Atreasia atau kegagalan hati berfungsi peringkat akhir sejak berusia dua minggu dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Shanghai Children Medical Center, Shanghai, China.

Noraini berkata, mereka menanti isyarat daripada pihak hospital sebaik kesihatan Raef stabil, pembedahan hati perlu dijalankan segera, namun menghadapi kekangan kewangan pada ketika ini.

“Suami yang sepatutnya menjadi penderma hati Raef tiba-tiba disahkan doktor tidak sesuai. Jadi adik lelaki saya terpaksa diterbangkan ke sini untuk mendermakan hatinya kepada Raef berikutan hati mereka sepadan,” katanya di sini, semalam.

Kisah Raef Uqael pernah disiarkan Metro Ahad pada 22 Mac lalu, apabila bapanya Mohd Rosli Abdul Rani, 38, sanggup mempertaruhkan nyawa bagi mendermakan sebahagian hatinya kepada anak tunggalnya itu.

Difahamkan, penyakit itu merosakkan saluran hempedu yang membawa cecair hempedu dari hati ke usus dan mengakibatkan penyakit kuning berpanjangan seterusnya merebak ke hati.

Menurut Noraini yang setia menemani Raef Uqael, mereka masih memerlukan RM300,000 bagi menampung kos pembedahan dan rawatan harian di pusat perubatan itu berikutan keadaan kesihatan anaknya itu yang tidak menentu.

“Memang kami berjaya mendapatkan dana RM300,000 bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati buat Raef di Renji Hospital, Shanghai daripada pelbagai pihak di Malaysia sebelum berlepas ke sini (China) 7 Mei lalu.

“Namun, tiba di sini tak sangka kami menghadapi dugaan apabila Raef mengalami pelbagai komplikasi masalah kesihatan termasuk demam, kuman sudah menjangkiti otak, pendarahan banyak sama ada menerusi muntah atau najis selain bernafas menggunakan alat bantuan mesin kerana sesak nafas.

“Apabila keadaan kesihatan tak stabil, pihak hospital terpaksa menangguhkan pembedahan pemindahan hati sehingga keadaannya kembali stabil,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Raef Uqael boleh menghubungi ibu bapanya di China menerusi talian 8615800401346 atau menghantar mesej di aplikasi WhatsApp 017-6688550 atau hulurkan sumbangan anda ke akaun Maybank milik Mohd Rosli bernombor 562384518559.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:08 AM