Jasin: Kerajaan diminta mengkaji semula paras harga getah bagi membolehkan pekebun kecil menerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) jika berlaku penurunan mendadak harga komoditi itu pada masa depan.

Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Ahmad Hamzah, berkata ini kerana penetapan harga RM4.60 satu kilogram (kg) getah basah untuk membolehkan IPG diberikan kepada pekebun kecil dianggap tidak sesuai memandangkan komoditi itu mengalami kejatuhan harga sehingga membebankan golongan terbabit.

“Harga yang dianggap sesuai ditetapkan oleh kerajaan adalah RM5.20 dan membolehkan pekebun kecil memperoleh IPG RM0.30 jika harga komoditi itu semakin merosot.

“Harga yang dikenali sebagai ‘Trigger’ itu perlu dikaji semula bagi memberi kelegaan kepada pekebun kecil berikutan penurunan harga komoditi terbabit,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Umbai, Serkam, di sini, semalam.

Sehingga akhir bulan lalu, harga getah dicatatkan menurun kepada RM5.25 berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM5.92 bagi setiap kg.

Ahmad berkata, prestasi kurang memberangsangkan itu disebabkan ekonomi dunia yang tidak menentu, krisis ekonomi Greece serta pertumbuhan ekonomi perlahan di beberapa negara pengguna terbesar sehingga mengakibatkan kurangnya permintaan.

Berikutan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin, berharap keadaan ekonomi yang positif ketika ini dapat meningkatkan pengeluaran yang sekali gus mengembalikan kestabilan harga getah.

“Kerajaan sentiasa memikirkan kepentingan kira-kira 300,000 pekebun kecil negara ini dengan menyediakan pelbagai insentif kepada mereka, terutama jika berlaku kejatuhan harga getah di pasaran.

“Justeru, saya berharap pekebun kecil getah bersabar dengan keadaan ini kerana usaha berterusan mereka akan dapat membantu kerajaan mencari jalan bagi menstabilkan harga bahan komoditi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, pelantikan Dr Mohd Akbar Md Said sebagai Ketua Pengarah LGM yang baru dijangka dapat meningkatkan produk inovasi yang berasaskan getah di negara ini.

“Beliau (Dr Mohd Akbar) mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang ini dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Unit Pengurusan Tanaman sebelum menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) pada 2006 dan terbabit secara langsung dalam perancangan penyelidikan serta inovasi di LGM.

“Saya yakin, LGM mampu menjadi agensi yang bukan saja menguruskan hal berkaitan getah seluruh negara, tetapi sebagai pencetus produk inovasi berasaskan getah terkemuka di rantau ini,” katanya.

Pelantikan Mohd Akbar berkuatkuasa kelmarin, menggantikan Datuk Dr Salmiah Ahmad yang bersara wajib, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:04 AM