Skip this ad x
ORANG ramai mengambil makanan di Jamuan Hari Raya Aidilfitri MPKB-BRI.

Kota Bharu: “Jika benar kontraktor itu berdepan masalah terutamanya dari segi kelulusan tanah, kerajaan negeri sedia membantu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan (PKMMNK) Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz yang mendakwa kelewatan menyiapkan rumah kekal baru (RKB) kepada mangsa banjir tahun lalu berpunca daripada kerajaan negeri gagal menyediakan tanah bagi dijadikan tapak rumah mangsa yang tidak mempunyai tanah sendiri.

Abdul Fattah berkata, kerajaan menggesa kontraktor berdepan dengan masalah tanah yang sudah dipersetujui untuk dijadikan tapak pembangunan rumah mangsa banjir supaya segera berbincang bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

“Sebelum ini, kita pernah menyatakannya termasuk pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mesyuarat Exco. Sekiranya kontraktor terbabit berdepan masalah berkaitan, kerajaan negeri sedia membantu.

“Seperti contoh, bila kita rasa ada masalah di Kampung Telekung, Kuala Krai, saya panggil semua jabatan dengan mengadakan mesyuarat dan sama-sama menyelesaikan isu berkenaan dan tidak mahu masalah itu berleluasa sehingga melambatkan proses pembinaan rumah.

“Tetapi dari segi kontraktor pula, tidak pernah mereka (yang bermasalah itu) datang jumpa dengan saya, bermakna saya akan menganggapkan tidak ada sebarang masalah timbul dan semuanya berjalan lancar,”katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Padang Hoki, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:02 AM