Norzainah Abd Rahman, 48, ketika ditahan di ICU, Hospital Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: “Ketika dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi) ahli keluarga dan saudaramara membacakan surah Yasin malah saya menganggap tiada lagi harapan untuk hidup, namun kuasa Tuhan saya akhirnya pulih,” kata Norzainah Abd Rahman,48, bekas pesakit denggi yang hampir meragut nyawanya, tahun lalu.

Selepas disahkan menghidap denggi pada hari raya keempat tahun lalu, Norzainah ditahan lima hari di ICU Hospital Kuala Pilah, Negeri Sembilan dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Ampang, dekat sini, selama tujuh hari.

Katanya, dia dapat rasakan ajalnya sudah tiba kerana virus denggi itu melumpuhkan kekuatan dan semangatnya malah hanya membiarkan doktor melakukan apa yang terdaya untuk memulihkannya.

“Pada awalnya, saya tidak tahu keadaan saya sangat kronik hingga saudara-mara membacakan surah Yasin dan meminta adik ipar menjelaskan status keadaan saya ketika itu.

“Adik ipar memberitahu keadaan saya sangat kritikal dan meminta saya kuatkan semangat kerana saya tidak boleh makan atau minum walaupun sedikit,” katanya, baru-baru ini.

Norzainah berkata, dia minta dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Ampang supaya dua anaknya yang berusia enam dan 10 tahun sentiasa berada di sisinya selain dekat dengan rumahnya.

Katanya, sepanjang 12 hari ditahan dia sangat sengsara dan memeritkan.

Bagaimanapun, katanya, dia kembali mendapat kekuatan apabila suami dan anak sentiasa berada di sisi.

“Saya terasa seperti mati hidup semula berikutan virus ini mengakibatkan badan saya lesu, muntah, lidah berdarah, sakit sendi, pening, tekak berasa pahit dan demam teruk.

“Pengalaman ini menyebabkan saya lebih sensitif terhadap tempat yang berpotensi menjadi pembiakan nyamuk aedes, sekali gus fobia apabila ternampak nyamuk,” katanya.

Menerusi statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan, Selangor berada di tangga pertama apabila terus mendahului negeri lain berhubung kes denggi dengan rekod 37,223 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:05 AM