Sebanyak 3,283 kes demam denggi dilaporkan pada minggu ke-27 tahun ini, meningkat 15.9 peratus berbanding 2,832 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 12 negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor dengan 1,755 kes, Negeri Sembilan (80 kes), Melaka (63 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (221 kes), Johor (606 kes), Sabah (55 kes), Perak (189 kes), Pulau Pinang (109 kes), Perlis (lapan kes), Kedah (28 kes), Pahang (68 kes) dan Kelantan (63 kes).

“Jumlah terkumpul kes denggi dari Januari hingga 11 Julai tahun ini ialah 62,648 kes iaitu peningkatan sebanyak 34.2 peratus atau 15,967 kes berbanding 46,681 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Pada tempoh sama, sebanyak 173 kematian dilaporkan iaitu Selangor tiga kematian, Johor (tiga kematian) manakala Kuala Lumpur dan Kelantan masing-masing satu kematian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 1,226 lokaliti mengalami wabak di seluruh negara membabitkan 13 negeri dengan sebanyak 189 lokaliti hotspot dilaporkan iaitu 151 di Selangor, 23 di Johor, 10 di Perak dan lima di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:15 AM