SSP1M bantu golongan yang tiada pendapatan tetap mencarum.

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SSP1M) adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap mempunyai simpanan apabila mencapai umur persaraan dengan mencarum secara sukarela mengikut kemampuan.

Selain itu, melalui SSP1M, jumlah mereka yang menabung dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga dapat ditingkatkan dan dalam masa sama memberi jaminan masa depan.

Sekiranya seorang individu mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung kehidupan selepas usia persaraan, ia membantu mengurangkan jumlah warga tua yang bergantung kepada peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ini kerana mereka yang tidak mampu bekerja tidak mempunyai wang mencukupi bagi menampung kehidupan harian, apatah lagi jika mempunyai tanggungan lain.

Simpanan yang ada dalam SSP1M sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan bebanan dan peruntukan di bawah program JKM yang dapat disalurkan kepada mereka yang berhak.

SSP1M adalah khusus untuk mereka yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai pendapatan tetap dan ia merangkumi petani, nelayan, pemandu teksi, peniaga kecil, penjaja, peniaga pasar malam atau penjaga kanak-kanak.

Selain itu, mereka yang menjana pendapatan hasil komisen seperti ejen insurans atau ejen hartanah juga termasuk dalam kategori ini. Mereka yang menerima bayaran selepas menawarkan perkhidmatan seperti juruhebah, penyanyi, pelakon atau perunding juga dikira sebagai golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Malah, pemilik perniagaan dalam talian atau pemilik firma sendiri seperti akauntan, peguam dan doktor juga boleh membuat caruman SSP1M.

Antara syarat yang ditetapkan untuk mencarum dalam SSP1M adalah warganegara Malaysia, individu yang bekerja sendiri, ahli KWSP dan membuat pilihan SSP1M menggunakan Borang KWSP 16G(1M).

Namun, sekiranya ahli mencarum di bawah Caruman Bekerja Sendiri, mereka masih boleh memilih skim ini dengan membuat permohonan menyertai SSP1M menggunakan borang KWSP 16G (1M). Mereka yang bekerja tetap tidak boleh menyertai SSP1M dan tidak layak menerima sumbangan kerajaan.

Jumlah caruman bergantung kepada ahli, namun ia tertakluk kepada jumlah minimum RM50. Malah, caruman tidak semestinya dilakukan setiap bulan tetapi, ia bergantung kepada kemampuan ahli dan boleh dibuat pada bila-bila masa.

Untuk membayar caruman bagi skim ini, ahli boleh menggunakan Borang Bayaran Simpanan Persaraan 1Malaysia (KWSP 6A(2) yang boleh diperoleh di mana-mana kaunter KWSP atau Laman Web KWSP (www.kwsp.gov.my).

Borang KWSP 6A(2) hendaklah diserahkan bersama tunai/cek di kaunter KWSP/mel atau di kaunter ejen bank yang dilantik iaitu RHB Bank, Maybank, Public Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Antara kelebihan caruman SSP1M, ahli berpeluang menikmati dividen tahunan sehingga mereka berusia 75 tahun dan turut menerima sumbangan daripada kerajaan 10 peratus daripada amaun caruman tertakluk kepada jumlah maksimum RM120 setahun.

Sumbangan kerajaan ini untuk tempoh empat tahun mulai tahun 2014 hingga 2017 untuk mereka yang berumur kurang daripada 55 tahun saja.

KWSP akan membuat tuntutan sumbangan kerajaan secara berkala. Wang sumbangan akan dikreditkan ke akaun ahli selepas KWSP menerimanya daripada kerajaan.

Selain berfungsi sebagai simpanan untuk masa depan selepas usia persaraan, ahli boleh menggunakan atau mengeluarkan simpanan dalam skim ini tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa pengeluaran KWSP. Untuk maklumat boleh layari laman web www.kwsp.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 8:23 AM