ANGGOTA JPAM menangkap musang besar dalam pejabat.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Bunyi benda jatuh dari siling membawa kepada penemuan seekor musang seberat lima kilogram dipercayai tersesat dalam pejabat syarikat perumahan di Kompleks Alor Setar, Lebuhraya Darulaman di sini, kelmarin.

Kejadian disedari pekerja syarikat terbabit jam 5.30 petang selepas terdengar bunyi kuat dalam sebuah bilik kosong sebelum menghubungi pasukan penyelamat meminta bantuan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Pekerja terbabit, Shahaliza Jamil, 26, berkata, ketika kejadian, dia menyiapkan kerja sementara menunggu waktu pulang jam 6 petang.

Katanya, sebaik menyedari ada seekor musang bersaiz besar, dia menghubungi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang haiwan berkenaan terlepas dan masuk ke tempat lain di pejabat itu.

“Saya dan beberapa pekerja lain tidak berani membuka pintu bilik itu kerana bimbang ia keluar dan masuk ke bilik lain. Namun, kami hanya memerhatikan gelagatnya melalui cermin penghadang bilik berkenaan sementara menunggu pasukan penyelamat tiba,” katanya ketika ditemui.

Berikutan itu, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar tiba di tempat kejadian untuk menangkap haiwan berkenaan menggunakan penjerut.

Ketua Skuad Mohd Redza Mohd Rais berkata, pihaknya menerima panggilan melalui talian MERS 999 jam 5.45 petang dan tiba di tempat kejadian jam 6 petang.

Beliau berkata, dua anggota cuba menangkap musang itu menggunakan peralatan khas, namun ia agresif dan cuba melawan sebelum ditangkap.

“Musang ini kemungkinan bersembunyi di siling kerana banyak anai-anai. Mungkin disebabkan keadaan siling yang reput menyebabkannya jatuh dalam pejabat.

“Ia boleh menggigit manusia jika cuba melawan, malah gigitannya berbahaya. Kami membawa haiwan itu ke pejabat JPAM di Anak Bukit sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:15 AM