PAPAN tanda larangan membuat pusingan U.
PAPAN tanda larangan membuat pusingan U.
Oleh Iskandar Shah Mohamed

Gombak: Degil dan mementingkan diri. Itu sikap segelintir pengguna jalan raya termasuk kenderaan berat menggunakan jalan singkat menuju ke destinasi dengan membuat pusingan U ‘haram’ di Jalan Batu Caves berhampiran sebuah pasar raya besar di sini, tanpa menghiraukan kesan buruk akibat perbuatan itu.

Walaupun papan tanda larangan membuat pusingan U berada di persimpangan bawah jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu, mereka masih tidak menghiraukannya malah ada yang melanggar lampu merah di kawasan berkenaan.

Keadaan itu bukan saja mengakibatkan laluan berkenaan semakin sesak terutama pada waktu puncak, malah membahayakan keselamatan pengguna lain akibat kemalangan kecil antaranya membabitkan motosikal ketika waktu malam.

Tinjauan Metro Ahad selama beberapa jam di kawasan itu mendapati puluhan kenderaan melakukan pusingan U menuju ke Sri Gombak sedangkan laluan dibenarkan hanya kurang 200 meter di hadapan mereka.

Penduduk Azlan Muhammad, 36, berkata, keadaan itu berlarutan sejak sekian lama dan penduduk kesal dengan tindakan pemandu serta penunggang motosikal sehingga menyusahkan orang lain.

“Sudah jelas terpampang papan tanda larangan membuat pusingan U namun masih ada yang mengingkarinya. Golongan tiada kesedaran sivik ini sebenarnya malas untuk pergi lebih jauh ke laluan yang dikhaskan untuk berbuat demikian.

“Tiada salahnya memandu atau menunggang lebih 100 meter ke depan daripada mengundang bahaya kepada pengguna lain seperti berlaku kemalangan kecil termasuk menyebabkan kesesakan lebih teruk,” katanya yang menggunakan laluan itu menuju ke rumahnya di taman perumahan berdekatan.

Menurut kakitangan swasta itu, tempoh perjalanan ke rumah kebiasaannya hanya mengambil masa kurang 15 minit namun kerap berdepan kelewatan berkali ganda sehingga lebih 30 minit disebabkan perbuatan melakukan pusingan U haram berkenaan.

“Saya menggunakan laluan itu setiap hari dan melakukan pusingan U di kawasan dibenarkan. Bagi saya yang tidak mengejar masa mungkin dianggap biasa, namun bagaimana sekiranya berlaku kes kecemasan dan tersangkut dalam kesesakan di kawasan itu,” katanya.

Justeru, dia berharap pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya mengatasi masalah itu antaranya mengenakan saman.

Penunggang motosikal, Saiful Abdullah, 34, berkata dia pernah cedera ringan selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta yang tiba-tiba membelok ke laluannya dari arah Batu Caves, beberapa bulan lalu.

“Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, saya tidak menyedari kereta berkenaan kerana lampu isyarat berwarna hijau. Mujur saya sempat menekan brek dan hanya terbabas berdekatan laluan masuk manakala kenderaan itu terus berlalu pergi.

“Saya ketika itu hanya mengalami calar di tangan dan tidak dapat membayangkan jika menunggang lebih laju yang semestinya menyebabkan kecederaan lebih teruk malah boleh meragut nyawa,” katanya.

Menurutnya, permasalahan itu berkemungkinan hanya dipandang remeh golongan tidak bertanggungjawab berkenaan namun mereka perlu menyedari bahawa malang tidak berbau dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:13 AM