JENAYAH dilakukan suspek dirakam CCTV kedai serbaneka.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Gemar ambil dadah ketamin sebelum melakukan rompakan awal pagi. Itu antara taktik digunakan lima penjenayah Geng Putra yang dikesan aktif melakukan rompakan sejak tiga bulan lalu.

Kegiatan suspek bagaimanapun berjaya ditumpaskan selepas dua ahli kumpulan diberkas polis Ampang Jaya pada rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, kedua-dua suspek ditahan itu berusia 24 dan 31 tahun.

Menurutnya, suspek ditahan beberapa jam selepas menyamun dua premis serbaneka di Jalan Lembah Maju dan Ampang Point di sini.

Dia berkata, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis dirompak membolehkan polis memberkas dua anggota geng itu.

“Mereka gemar melakukan jenayah sekitar jam 1 pagi hingga 4 pagi. Suspek akhirnya ditumpaskan polis berdasarkan rakaman CCTV diperolehi di lokasi kejadian.

“Soal siasat terhadap suspek mendapati mereka pernah melakukan 12 jenayah samun di kedai serbaneka. Malah, kedua-dua mereka juga positif mengambil dadah jenis ketamin,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah parang, dua motosikal, topi keledar, dua helai pakaian yang digunakan untuk merompak serta sepasang kasut.

Menurutnya, suspek dikenal pasti aktif melakukan rompakan di Cheras, Setapak dan Sri Kembangan sejak Mei lalu.

“Mereka kerap memasuki kedai yang tidak mempunyai pelanggan dan merompak bersenjatakan parang. Sasaran mereka adalah wang tunai serta rokok saja,” katanya.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai penghantar surat dan pemandu van itu ditahan reman sehingga 5 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

“Tiga lagi suspek yang masih bebas akan diburu polis sehingga mereka ditangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:22 AM