Kuala Lumpur: Pelan Tindakan (POA) bagi mengukuhkan pelaksanaan Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) kini giat digerakkan seperti yang dirancang selepas disepakati di Nay Pyi Taw, Myanmar Ogos tahun lalu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, selain itu komitmen untuk menggalakkan Negara Senjata Nuklear (P5) menandatangani Protokol SEANWFZ masih diusahakan.

“Selepas Suruhanjaya SEANWFZ bertemu pada Ogos 2014 di Myanmar, suka saya maklumkan POA yang dirancang sedang giat dijalankan,” katanya dalam ucapan pembukaan mesyuarat suruhanjaya berkenaan sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-48/Pasca Persidangan Menteri Luar (PMC) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Negara P5 ialah United Kingdom, Russia, Perancis, Amerika Syarikat dan China.

Sebelum ini negara kuasa besar terbabit kecuali China menangguhkan persetujuan untuk menandatangani protokol berkenaan sejak rundingan mengenainya dimulakan pada tahun 2001.

Bagaimanapun, anggota P5 bersetuju menghormati zon bebas nuklear rantau ini termasuk tidak akan memiliki atau membawa sebarang bahan atau senjata nuklear merentasi wilayah ASEAN.

Anggota ASEAN menandatangani perjanjian berkenaan di Bangkok, Thailand pada 15 Disember 1995 sebelum berkuat kuasa dua tahun kemudian.

Dalam pada itu, Anifah berharap mesyuarat berkenaan dapat mencapai keputusan memberangsangkan dalam usaha rantau ini memastikan pelaksanaan POA berterusan.

Beliau berkata, suruhanjaya berkenaan pada kali ini diharapkan dapat mencapai kata sepakat kaedah terbaik untuk ASEAN terus maju ke depan dalam usaha menyelesaikan semua isu tertunggak.

“Isu tertunggak ini banyak berkaitan dengan pemeteraian protokol SEANWFZ oleh anggota P5,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 8:47 AM