MARY (tengah) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Kemahiran Khas kepada Siti Mutiaah di Istiadat Konvokesyen PUO Kali Ke-44, di Ipoh.
Oleh Farah Suhaidah Othman

Ipoh: Kecacatan fizikal tidak menghalang seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) untuk meraih Anugerah Kecemerlangan Kemahiran Khas pada Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) kali ke-44 di sini, semalam.

Siti Mutiaah Ali, 23, yang pekak dan bisu berkata, dia tidak pernah menjadikan kecacatan diri sebagai halangan untuk terus menimba ilmu seperti insan normal lain.

Malah, dia sering meminta bantuan rakan normal lain untuk mengulang kaji pelajaran serta berbincang bersama rakan sekelas yang senasib mengenai pelajaran meskipun tidak mampu mendengar dan berkomunikasi dengan sempurna.

Berkat usaha gigih itu, dia berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92 seterusnya melayakkannya meraih anugerah khas.

Dengan menggunakan bahasa isyarat, Siti Mutiaah memberitahu latar belakang keluarga yang miskin menyuntik semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 9:20 AM