Heneage
Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Peraturan jelas mengenai kandungan dan penggunaan rokok elektronik atau vapor perlu disebarkan kerajaan bagi memastikan pengguna memperoleh maklumat tepat untuk mendapatkan produk itu melalui cara yang sah di sisi undang-undang negara.

Ini berikutan hasil kajian yang dijalankan FactAsia pada Mei lalu mengenai penggunaan vapor dalam kalangan 400 perokok tegar di Malaysia mendapati 75 peratus daripada mereka mempertimbangkan membeli vapor dari tempat lain sekiranya kerajaan mengharamkannya di Malaysia.

Pengasas FactAsia Heneage Mitchell berkata, pihaknya turut mendapati permintaan dan penggunaan vapor lebih tinggi sejak kebelakangan ini berbanding konvensional berikutan 82 peratus responden menganggap produk itu berupaya menjadi alternatif positif kepada tabiat merokok.

“Seramai 96 peratus responden juga berpendapat bahawa mereka patut didedahkan mengenai Vape secara mendalam.

“Ini termasuk kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pembekal vapor serta penyebaran maklumat dari segi keselamatan, kualiti produk dan kemudahan memperolehnya.

“Bukan itu saja, lebih 90 peratus responden bersetuju sekiranya kerajaan menggalakkan perokok dewasa bertukar kepada alternatif vapor yang lebih selamat seterusnya memastikan remaja tidak lagi menghisap rokok pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 9:23 AM