Petaling Jaya: Seorang lelaki warga emas berusia 70-an maut akibat kehilangan banyak darah selepas ditetak dua perompak yang menyamar sebagai ‘budak penghantar’ kurier.

Dalam kejadian jam 2.45 petang kelmarin, mangsa, Duncan Joseph Nehru, ditetak suspek di bahagian tapak tangan di kediamannya di Jalan 3/56.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 6.08 petang hari sama selepas menerima rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Rompakan dikatakan berlaku ketika mangsa berada di rumah bersama isterinya sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal.

Suspek bertindak menekan loceng rumah dan menyamar sebagai penghantar barang kurier.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, suspek menunjukkan bungkusan tertera alamat rumah berkenaan dan meminta mangsa menurunkan tandatangan.

“Bagaimanapun, suspek memberitahu mereka tidak membawa pen lalu mangsa masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil pen.

“Pada masa sama, dua suspek terbabit mengekori mangsa masuk ke dalam rumah sebelum salah seorang suspek mengeluarkan parang,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang menyangka suspek mahu menetaknya bertindak menangkap parang berkenaan.

“Susulan itu, suspek menarik parang menyebabkan tapak tangan kiri mangsa mengalami luka parah,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi suspek kemudian meluru ke arah isteri mangsa dan merampas barang kemas miliknya sebelum melarikan diri.

“Akibat terkena senjata itu, darah keluar tidak berhenti dan mangsa dikejarkan ke PPUM untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia tiga jam kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:04 AM