Rahman (kiri) menunjukkan lokasi dipercayai anaknya terjatuh ke Sungai Tawau.
Oleh Norasikin Daineh

Tawau: Seorang ibu tertanya-tanya sama ada anak lelakinya yang berusia tiga tahun diculik atau lemas di Sungai Tawau, berhampiran Taman Rainbow, di sini, berikutan jasadnya belum dijumpai selepas lebih seminggu dilaporkan hilang.

Persoalan itu membelenggu Andi Mariati Sayudin, 30, berikutan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) setiap hari di sepanjang sungai itu tidak mempunyai sebarang petunjuk yang boleh meyakinkan bahawa anaknya, Muhd Famirul Aiman Rahman, terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

“Kami sekeluarga tidak pernah putus harapan mencari Muhd Famirul sehingga jasadnya ditemui. Naluri saya sebagai ibu yakin bahawa Muhd Famirul masih hidup,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Andi berkata, sehingga semalam, mereka sekeluarga masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai kehilangan anaknya.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Rahman Abdullah, 33, mendakwa tidak pasti sama ada anaknya diculik seperti dakwaan seorang ustaz yang menghubungi mereka beberapa hari lalu.

“Saya hanya mampu berserah dan yang penting, kami sudah berusaha melakukan pencarian tidak kira di sungai atau daratan.

“Malah, penduduk kampung juga melakukan solat hajat dan bacaan Yassin setiap malam bertujuan mendapat petunjuk,” katanya.

Terdahulu, anak ketiga daripada empat beradik itu dilaporkan hilang sejak Isnin lalu selepas ibunya terlelap ketika di rumah.

Ibu mangsa menyedari kehilangan anaknya selepas mendapati makanan yang dihidangkan untuk kanak-kanak itu tidak terusik.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai kehilangan mangsa yang dikhuatiri lemas.

“Operasi SAR masih dilaksanakan dan 36 anggota terdiri daripada bomba, polis Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk terbabit dalam operasi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:12 AM