Ketibaan Sultan Ibrahim   ke destinasi pilihan Taman Rekreasi Tampok Laut untuk beramah mesra dengan rakyat setempat.
Ketibaan Sultan Ibrahim ke destinasi pilihan Taman Rekreasi Tampok Laut untuk beramah mesra dengan rakyat setempat.
Oleh Mary Victoria Dass

Pontian: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 edisi ke-18 yang membuka tirainya di Laman Diraja Pontian, dekat sini, semalam, berjalan lancar apabila ribuan penduduk setempat turut mengambil bahagian bagi menyaksikan kehadiran ‘tetamu Istana’ di daerah itu.

Kira-kira 3,000 penduduk selain kakitangan awam tidak melepaskan peluang memeriahkan majlis perasmian berkenaan yang disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Baginda kelihatan gah bermotosikal berkuasa tinggi ketika mengetuai kembara berkenaan pada jam 9 pagi.

Terdahulu, ketika berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan gimik perasmian, baginda ditemani Raja Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail bersama isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam dan puteri sultan Tunku Aminah.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan barisan Exco kerajaan negeri.

KMJ 2015 yang bertema Muafakat Bangsa Johor akan menjelajah seluruh negeri selama empat hari bermula semalam hingga Khamis ini, dengan tumpuan penjelajahan turut difokuskan kepada golongan kurang berkemampuan serta penduduk di kawasan pedalaman.

Sepanjang KMJ 2015 yang menggunakan motosikal berkuasa tinggi dan bas, Sultan Johor akan mengambil bahagian dalam majlis kemasyarakatan, sukan rakyat mahupun aktiviti sampingan lain demi mendampingi rakyat dan mengenali mereka dengan lebih dekat.

Perasmian penutupan KMJ akan diadakan di Hutan Bandar di Taman Mutiara Rini di Skudai, di sini pada jam 3 petang, Khamis ini.

Seorang penduduk, Nazaruddin Ismail, 43, berkata, dia tertarik untuk melihat kembara diraja singgah di pekan berkenaan, malah bertuah kerana dapat menyaksikan majlis pembuka tirai bersama keluarganya, selain melihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada jarak lebih dekat.

Menurutnya, pengalaman itu menjadi satu kenangan manis baginya mahupun pelbagai lapisan penduduk di Pontian.

“Doa penduduk Pontian akan mengiringi baginda. Penduduk daerah ini berbangga dan terharu apabila daerah ini terpilih sebagai lokasi baginda memulakan kembara.

“Semoga kembara ini membawa limpahan rahmat dalam kalangan penduduk dan mampu mempromosikan Pontian sebagai kawasan pelancongan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 9:20 AM