Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Akibat membuat rakaman video pada bahagian bawah skirt seorang pelajar universiti swasta, seorang ejen hartanah dijel 10 hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Majistret Nur A’minatul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Long Jhow Weh, 29, dan memerintahkan hukuman penjara bermula semalam.

Lelaki itu turut berdepan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Long didakwa melakukan perbuatan yang mengaibkan itu terhadap mangsa yang berusia 21 tahun di eskalator tingkat satu, kompleks beli-belah Midvalley, di sini, jam 6.10 petang, 8 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Lim Cheong Kiat yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh insaf dan menyesal atas perbuatannya.

“Tertuduh juga berjanji mendapatkan kaunseling daripada pakar,” hujah Lim.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Nur A’minatul Mardiah sebab dia melakukan perbuatan itu, Long yang menjawab dalam bahasa Mandarin mendakwa mengalami masalah mental.

“Saya menyesal dan minta maaf pada perempuan itu. Saya tahu perbuatan saya melanggar undang-undang. Saya mengaku salah. Harap beri saya satu peluang lagi,” rayu Long.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan alasan maruah seorang wanita dicemari.

“Nilai maruah wanita tidak boleh dirawat seperti merawat kecederaan luar,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, teman lelaki mangsa yang menaiki tangga berkenaan bersama mangsa ternampak tertuduh yang berada di belakang mangsa merakam bahagian bawah skirt yang dipakai wanita itu menggunakan telefon bimbit Samsung berwarna hitam.

Teman lelaki mangsa bertanya pada tertuduh ‘Kamu sedang buat apa?’ dan tertuduh memohon maaf dan berjanji memadamkan rakaman itu.

Tertuduh ditangkap dengan bantuan orang awam dan dihantar ke bilik pengawal keselamatan. Di dalam telefon bimbit itu juga terdapat imej wanita lain dirakam tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 9:07 AM