Seorang pemilik spa didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menawarkan khidmat seks kepada tiga anggota polis, minggu lalu.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu terhadap Loong Kok Choy, 42, selepas lelaki itu mengaku salah dan memerintahkannya dipenjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Loong didakwa menawarkan perkhidmatan seks kepada tiga anggota polis dari Balai Polis Chow Kit, di sini, dengan menyatakan ‘bayaran boleh dibuat selepas perkhidmatan seks’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hotel di Jalan Raja Laut, di sini, jam 4 petang, 6 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda kerana mempunyai tanggungan.

Mengikut fakta kes, tiga anggota polis menyamar sebagai pelanggan ke spa itu.

Tertuduh yang mengaku sebagai ‘kapten’ meminta mereka menunggu sementara memanggil tiga wanita dipercayai pelacur.

Tiga anggota polis itu diminta ke tiga bilik berasingan dan menyatakan bayaran boleh dibuat selepas selesai perkhidmatan seks.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:16 AM
Digital NSTP Subscribe