NAZELLYNAKMAR mencium anaknya, Marissa ketika dimasukan ke ICU Hospital Serdang pada 28 Jun lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Marissa Hani Mohammed Zubir yang menghidap penyakit gabungan kurang daya ketahanan badan (SCID) atau lebih dikenali sebagai ‘bubble boy disease’ meninggal dunia selepas 47 hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang.

Marissa, 2, kanak-kanak pertama di Malaysia yang berjaya menjalani pemindahan sum-sum tulang pada tahun lalu iaitu penderma adalah ibu kandungnya sendiri, iaitu Nazellynakmar Kamarudin, meninggal dunia di hospital itu pada jam 2.26 petang semalam akibat ‘severe ventriculitis with hydrocephalus’ (memampatkan stem otak akibat SCID).

Nazellynakmar, 39, yang juga petugas bahagian pentadbiran di Jabatan Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) berkata arwah anaknya dimasukkan ke ICU sejak 28 Jun lalu kerana masalah pernafasan sebelum keadaannya menjadi separa koma.

“Keputusan MRI (pengimejan resonans magnetik) pada 4 Ogos lepas doktor mendapati terdapat kuman lama yang sedang membesar dan menekan saraf tunjang menyebabkan Marissa Hani separa koma hingga menghembuskan nafasnya petang semalam,” katanya kepada Bernama semalam.

Marissa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini semalam selepas disembahyangkan di rumah datuknya di Taman Sri Keramat Tengah, Ampang di Ulu Kelang, dekat sini.

Arwah dikebumikan bersebelahan kubur kakak dan abangnya iaitu Sofea Hani dan Muhammad Zulhakimi, anak ketiga dan keempat Nazellynakmar yang meninggal dunia pada tahun 2008 dan 2010 pada usia lima bulan 11 hari dan satu bulan 21 hari.

Nazellynakmar berkata beliau reda dengan pemergian anaknya kerana mereka sekeluarga sudah berusaha memberikan perubatan yang terbaik kepada arwah dengan menggunakan kepakaran dari dalam dan luar negara dan mendapat rawatan sebaik-baiknya dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Serdang.

Marissa dikesan menghidap penyakit SCID beberapa bulan selepas dilahirkan, iaitu penyakit daripada kumpulan ‘Imunodefisiensi Primer’ yang berpunca lemah daya imun sejak lahir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:28 AM