MANGSA pergaduhan yang ditikam menggunakan objek tajam dirawat di HUS.
MANGSA pergaduhan yang ditikam menggunakan objek tajam dirawat di HUS.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuching: Seorang guru silat parah ditikam sebanyak sembilan kali menggunakan objek tajam dalam satu pergaduhan di sebuah pusat peranginan di Padungan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun yang dipercayai pengawal keselamatan di sebuah premis di pusat perniagaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman di perut.

Sumber berkata, pada jam 4.40 pagi, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki memaklumkan berlaku pergaduhan.

Menurutnya, anggota Balai Polis Padungan bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati pergaduhan itu sudah berakhir.

“Apabila memeriksa kawasan itu, polis menemui mangsa terbaring atas lantai dengan kesan tikaman di perut.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans. Pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemui satu objek tajam yang dipercayai digunakan sebagai senjata,” katanya.

Sumber itu berkata, pemeriksaan doktor mendapati ada sembilan kesan tikaman pada perut mangsa dengan kedalaman antara satu hingga tiga sentimeter.

Katanya, mangsa akan menjalani pembedahan di HUS.

“Polis akan memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit dan mengesan saksi yang menyaksikan kejadian bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:43 AM