NURUL Baizura bersama Muhammad Hazeeq yang mengalami jantung berlubang, di Hospital Tuanku Fauziah.
NURUL Baizura bersama Muhammad Hazeeq yang mengalami jantung berlubang, di Hospital Tuanku Fauziah.
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Seorang ibu muda, Nurul Baizura Mohammad Tarmizi, 26, berdepan situasi perit apabila bayi sulungnya, Muhammad Hazeeq Iqhwan Abdul Mukmin, tujuh bulan, disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak dua bulan lalu.

Tidak cukup dengan dugaan berat itu, suaminya pula menggantung dirinya tidak bertali apabila menghilangkan diri seperti enggan menunaikan tanggungjawab kepada anak lelaki mereka.

Lelaki berusia 33 tahun terbabit turut melafazkan taklik: “Sekiranya Muhammad Hazeeq sudah sembuh, aku ceraikan kamu.”

Difahamkan, lelaki terbabit berniaga sayur secara kecil-kecilan dan hanya muncul pada waktu tertentu untuk melihat keadaan bayi mereka.

Nurul Baizura yang juga peniaga sayur berkata, anaknya dilahirkan pada 8 Januari lalu dan ketika usianya menginjak dua bulan, masalah jantung berlubang itu mula dikesan selepas dia membawa anaknya ke sebuah klinik pediatrik di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.

“Pada mulanya penyakit itu tidak begitu membimbangkan, namun pada Aidilfitri pertama lalu, anak saya mengalami demam yang teruk, batuk berkahak serta jangkitan paru-paru.

“Simptom itu membuatkan badan Muhammad Hazeeq bertukar kebiru-biruan seperti bengkak disebabkan sesak nafas dan penat. Kerana bimbang, saya membawanya ke HTF untuk rawatan lanjut.

“Ketika ujian X-Ray dilakukan, doktor mengatakan wujud lubang pada injap jantung Muhammad Hazeeq dan saya ingatkan penyakit jantung berlubang yang dikesan pada awalnya tidak begitu teruk, namun ia lebih buruk daripada apa yang disangkakan,” katanya ketika ditemui di HTF, di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya di Hospital Pulau Pinang pada 5 Ogos lalu mengesan empat komplikasi lain disebabkan jantung berlubang yang dihidapi Muhammad Hazeeq.

Dia berkata, antaranya dua injap jantung di sebelah kanan atau ‘Double Outlet Right Ventrikel (DORV)’, septum ventrikel berlubang atau ‘Ventricular Septal Defect (VSD)’ serta pundi kencing yang bermasalah.

“Saya sebak melihat Muhammad Hazeeq yang masih belum mengerti apa-apa terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi membekalkan oksigen setiap masa manakala susu yang diminum pula perlu disalurkan menerusi hidung dengan tiub khas.

“Ini bagi mengelakkan anak saya mengalami kepenatan terutama ketika minum menggunakan mulut dan ini juga perlu untuk memastikan paru-parunya dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya, dia kini buntu kerana berdepan masalah kewangan berikutan memerlukan RM50,000 bagi menampung kos pembedahan buat anaknya itu.

Sementara itu, wakil Muslim Care Malaysia, Farhana Zaher yang menziarahi Nurul Baizura berkata, pihaknya berusaha membantu sedaya upaya bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh wanita berkenaan.

Dia berkata, pihaknya dimaklumkan Muhammad Hazeeq akan dibedah di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang dan perlu menyediakan kos pembedahan berjumlah RM50,000.

Katanya, sehingga kini, pihaknya berjaya mengumpulkan RM9,000 hasil bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan juga Muslim Care Malaysia.

Orang ramai yang mahu membantu dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank 4789758715 atas nama Nurul Baizura Mohammad Tarmizi atau menghubunginya di talian 0113-8719360.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 8:31 AM