Bangkok: Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang warga asing yang disyaki meletupkan bom di daerah komersial Ratchaprasong di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Balai Polis Lumpini Lt Kol Somkiet Ploytabtim yang juga pegawai penyiasat memohon waran tangkap itu tengah hari semalam.

Suspek belum dikenal pasti dan ciri-ciri lelaki itu berdasarkan lakaran polis yang dikeluarkan kepada awam sebelum ini, menurut permohonan tiga muka surat bagi waran tangkap itu.

Terdahulu, jurucakap polis Lt Jen Prawut Thavornsiri memberitahu, suspek adalah lelaki memakai kemeja kuning bersama-sama sebuah beg galas dirakamkan CCTV dan beredar dari tempat kejadian beberapa saat kemudian sebelum letupan berlaku.

Letupan itu berlaku berhampiran kuil Erawan yang menempatkan dewa Hindu, Brahma, popular bukan saja dalam kalangan penganut Hindu, tetapi penganut Buddha di Thailand dan negara lain.

“Polis memperoleh imej suspek yang lebih jelas daripada yang dikeluarkan kepada awam sebelum ini,” kata Prawut.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:18 AM