Khidmat nasihat serta rundingan RAS daripada pegawai terlatih dan berpengalaman.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Isu tabungan persaraan sememangnya mendapat perhatian daripada pelbagai pihak memandangkan ia mampu memberi kesan kepada individu meneruskan kelangsungan hidup selepas tempoh tamat bekerja.

Ini kerana menerusi kajian yang dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapati majoriti ahli dengan simpanan RM50,000 boleh menghabiskannya dalam tempoh singkat.

Isu itu menjadikan pesara berkemungkinan berdepan masalah kewangan untuk perbelanjaan yang lebih penting seperti perubatan dan sara hidup.

Lebih membimbangkan apabila hasil kajian mendapati sekurang-kurangnya 70 peratus pencarum KWSP yang mengeluarkan sepenuhnya caruman pada usia 55 tahun, menghabiskan wang simpanan itu dalam tempoh satu hingga 10 tahun selepas bersara.

Secara realiti untuk menyara kehidupan bersara, seseorang individu memerlukan minimum RM800 sebulan.

Persoalannya bagaimana sekiranya wang itu tidak berada di dalam poket individu bersara? Ia sudah semestinya menjadi masalah kerana hakikatnya golongan bersara perlu bebas daripada kekangan kewangan.

Melihat kepada isu ini, KWSP sebagai entiti bertanggungjawab memegang amanah pencarum simpanan persaraan memperkenalkan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) kepada pencarum sebagai langkah membantu orang ramai merancang kewangan untuk bekalan persaraan.

Inisiatif strategik itu dilaksanakan bermula Julai 2014 bagi membolehkan majikan dan anggota KWSP mendapat khidmat nasihat serta rundingan daripada pakar untuk merancang kewangan mereka.

Disebabkan ahli KWSP berada di seluruh negara, entiti kewangan itu sudah dan akan memperluaskannya ke enam cawangan secara berperingkat dengan setiap cawangan menempatkan dua pegawai terlatih.

Sebagai perintis bagi inisiatif itu, enam pegawai RAS yang sudah mendapat latihan dan pendedahan berkaitan ditempatkan di Ibu Pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Ia akan bermula di KWSP Seberang Jaya, Pulau Pinang serta Johor Bahru, Johor, sebelum disusuli cawangan Ipoh, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching. Seterusnya, empat lagi kaunter RAS dirancang dibuka di cawangan lain pada Oktober depan.

Pelaksanaan RAS menunjukkan prestasi yang positif apabila setakat 31 Julai lalu, seramai 5,117 ahli KWSP sudah menggunakan khidmat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, RAS adalah yang pertama dan ia sebahagian daripada perancangan jangka panjang KWSP untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan membantu ahli mencapai persaraan yang mapan.

Katanya, RAS berguna khususnya untuk ahli yang menghampiri umur persaraan atau yang sudah bersara, tetapi masih mempunyai simpanan di KWSP.

“KWSP sedar ahli berdepan cabaran besar dalam menguruskan wang persaraan mereka dan sebagai pemegang amanah kepada simpanan persaraan mereka, KWSP perlu memastikan ahli mampu mencapai tahap keselesaan yang diperlukan apabila mereka bersara.

“RAS akan membantu ahli membuat keputusan tepat menguruskan wang persaraan sebelum atau selepas bersara. Kami juga akan bekerjasama dengan agensi lain untuk meningkatkan tahap kesedaran dan celik kewangan kepada rakyat Malaysia yang bekerja.” katanya.

Langkah proaktif berkenaan menepati peranan KWSP sebagai institusi penting dalam membantu pekerja di negara ini menyediakan simpanan persaraan mencukupi dan selesa untuk bekalan hari tua, apa lagi kini mereka berdepan pelbagai cabaran terutama peningkatan kos sara hidup.

Pelaksanaan langkah itu membantu lebih ramai pencarum bersedia menguruskan tabungan mereka sebelum tempoh persaraan dan sekiranya mereka merasakan pendapatan ketika bekerja tidak mencukupi, penjanaan pendapatan lain dapat dilakukan.

Berbanding selepas tamat bekerja, ketika itu, berkemungkinan mereka tidak mempunyai keupayaan menjana pendapatan lain atau sekiranya ingin melakukan pelaburan, ia terlalu singkat bagi mendapat pulangan yang lebih menguntungkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai RAS, ahli boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 (dari jam 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat). Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web www.kwsp.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 8:20 AM