X
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: “Panik melihat api semakin merebak, kami sekeluarga segera memindahkan nenek yang lumpuh berusia 70 tahun keluar dari rumah, namun barangan lain tidak sempat diselamatkan termasuk hantaran perkahwinan adik yang akan berkahwin pada 16 September ini,” kata Zahari Amir, 26, selepas rumah pusaka di Kampung Parit Mat Aris Bawah di sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, kebakaran dipercayai berpunca dari rumah bapa saudara Zahari yang bersambung dengan rumah pusaka berkenaan dan menyebabkan kedua-dua kediaman terbabit rentung.

Menurut Zahari, ketika kejadian, dia dan isteri bersama empat ahli keluarga lain sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum terhidu asap.

“Pada awalnya kami sangkakan bau itu dari pembakaran sampah di belakang rumah bapa saudara, namun apabila terdengar bunyi letupan, kami segera memeriksanya dan terkejut apabila melihat api marak membakar rumah bapa saudara,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Difahamkan ketika kejadian bapa saudara Zahari tiada di rumah.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur dan memandangkan struktur kedua-dua rumah berasaskan kayu, api marak dengan cepat.

“Semua barang hantaran perkahwinan yang sudah disiapkan untuk majlis adik pada 16 September ini, termasuk wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM8,000 musnah.

“Saya cuma sempat menyelamatkan sebuah motosikal,” katanya.

Zahari berkata, kad jemputan majlis perkahwinan adiknya juga sudah diedarkan dan mereka sekeluarga kini buntu menjelang hari bahagia adiknya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Parit Buntar berkata, sebuah jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati keseluruhan struktur bangunan rumah musnah.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 10:28 AM