DR Hilmi memeriksa Muhammad Irfan sambil diperhatikan Nor Izuan dan Habibah.
DR Hilmi memeriksa Muhammad Irfan sambil diperhatikan Nor Izuan dan Habibah.

Georgetown: Bayi lelaki berusia sembilan bulan, Muhammad Irfan Afendi Nor Izuan yang menghidap penyakit hati kronik dibawa ke Hospital Selayang bagi menjalani rawatan, semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, rawatan akan diberi dengan menggunakan kepakaran bahagian Hepatologi di Hospital Selayang bagi memastikan keadaan Muhammad Irfan kembali pulih.

“Kes Irfan ini adalah kes semula jadi dan berlaku sejak lahir yang disebut Biliary Atresia iaitu tidak mempunyai saluran menghubungkan hempedu dan hati.

“Selepas ini, pemeriksaan akan dijalankan oleh doktor pakar di Hospital Selayang dan mereka akan tentukan waktu sesuai untuk Irfan menjalani pembedahan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, di sini, semalam.

Hilmi berkata, pembedahan perlu dilakukan dengan segera, namun keadaan kesihatan Muhammad Irfan mesti dipastikan sesuai sebelum menjalani rawatan.

Nasib Muhammad Irfan mendapat perhatian syarikat Nasmir Holding Sdn Bhd dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang yang akan menampung kos rawatannya.

Sementara itu, bapa Muhammad Irfan, Nor Izuan Md Noor, 35, berkata, harapannya bersama isteri, Habibah Daud, 24, hanya untuk melihatkan keadaan kesihatan anaknya bertambah baik.

Menurutnya, dia dan isteri bersyukur kerana banyak pihak yang tampil untuk memberikan bantuan biarpun anaknya masih belum mendapat penderma hati yang sesuai.

“Kami berharap bantuan ini akan memberi sinar baru kepada Irfan kerana saya dan isteri tidak sanggup melihat keadaannya yang semakin teruk setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 10:45 AM