Mohd Isa(dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Ashaari.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kecekalan lelaki menjaga isteri yang sakit, anak dan adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) diuji selepas dia tidak dapat bekerja akibat kemalangan.

Sebelum ini, Ashaari Shuhaimi, 44, menanggung keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu kenderaan syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Ashaari berkata, dengan pendapatan itu, ia cukup menampung isterinya yang menghidap penyakit buah pinggang, lima anak yang masih bersekolah termasuk seorang yang menghidap Down Sindrom, selain adik iparnya yang buta.

Malangnya, kehidupan Ashaari berubah sekelip mata apabila dia terbabit dalam kemalangan Disember tahun lalu menyebabkan kaki kanan dan tulang rusuknya patah.

Menceritakan insiden itu, Ashaari berkata, dia menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerjanya pada jam 8 pagi sebelum terbabas ketika melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

Katanya, sejak kejadian itu, dia tidak dapat bekerja dan mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

“Saya seperti hilang arah dan tertekan kerana perlu mencari wang,” katanya selepas menerima kunjungan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seremban 2, kelmarin.

Kunjungan itu diketuai Yang Dipertua PIBG SK Seremban 2, Mohd Isa Ibrahim, Naib Yang Dipertua, Sharifah Sharmilah Syed Abd Rahim dan Sekretariat Wanita Gerakan Negeri Sembilan, Toh Bee Ling.

Ashaari berkata, isterinya, Asmah Md Nasir, 37, yang menghidap penyakit buah pinggang menerima rawatan haemodialisis, manakala lima anak berusia antara 11 hingga 18 tahun masih bersekolah.

Dia juga menjaga adik iparnya, Halimatul Saadiah Md Nasir, 33, yang buta dan mempunyai tiga anak yang tinggal bersamanya kerana suaminya bekerja di ibu kota.

Mohd Isa berkata, dia menziarahi keluarga Ashaari selepas dimaklumkan keadaannya kerana anaknya tidak hadir ke sekolah akibat masalah kewangan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Ashaari di talian 017-2364005.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:04 AM