Nurizah Ismail menjaga cucunya Muhamad Adam Rayyan Rizqi Iman Hakim, yang menghidap penyakit kepala besar.

Kuantan: Bantuan rawatan kepada bayi malang, Muhamad Adam Rayyan Rizqi Iman Hakim, berusia dua bulan yang menghidap penyakit hidrosefalus atau kepala besar akan disediakan sepenuhnya kerajaan Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, kos merawat bayi berkenaan yang dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh, itu akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.

Katanya, bayi berkenaan memerlukan rawatan yang terbaik oleh kumpulan doktor pakar bagi memastikan penderitaan dialami tidak terus berlarutan seterusnya dapat kembali normal.

Menurutnya, apa saja keputusan mengenai rawatan termasuk pembedahan hanya akan diputuskan oleh doktor pakar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, selepas pemeriksaan dilakukan.

“Saya simpati dan terharu melihat penderitaan ditanggung Muhamad Adam, justeru rawatan terbaik perlu diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:25 AM