Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan kolam simpanan fiber dan tahi minyak sawit.

Banting: Cuaca panas dipercayai menjadi punca longgokan besar hampas dan sisa minyak kelapa sawit terbakar di sebuah kilang di Jalan Klang-Banting berdekatan Jenjarom, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, sebuah kolam simpanan hampas dan sisa minyak kelapa sawit terbakar sehingga asap tebal boleh dilihat dari jarak beberapa kilometer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada hampas kelapa sawit yang terbakar akibat cuaca panas dan angin kuat.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 12.24 tengah hari sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Seramai 24 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Andalas dan Pelabuhan Klang termasuk tiga jentera dan Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jaslizad berkata, kerja pemadaman mengambil masa kerana api merebak cepat dan ia dapat dikawal sepenuhnya jam 3.35 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:27 AM