Kuala Lumpur: Sebanyak 12 lokasi di seluruh negara mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pagi semalam, manakala 28 kawasan lagi merekodkan tahap kualiti udara sederhana.

Antara lokasi IPU tidak sihat ialah Alor Setar (120), Sungai Petani (106), Kangar (103), Taiping (103), Nilai (106) Ipoh (104), Banting (102), Pelabuhan Klang (109), Shah Alam (108) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (113).

Bacaan IPU tidak sihat bagaimanapun menunjukkan penurunan ke tahap sederhana di lima lokasi pada sebelah petang iaitu Sungai Petani (97), Nilai (91), Banting (91), Shah Alam (94) dan Kuala Lumpur (93).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi kenyataan media memberitahu, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura kelmarin melaporkan 395 titik panas dikesan di Sumatera, manakala 31 lagi di Kalimantan.

Selain itu, tujuh titik panas turut dikesan dalam negara iaitu masing-masing satu di Johor, Kelantan, Terengganu dan empat lokasi di Pahang.

Kata beliau, berdasarkan Model Hysplit bagi ramalan cuaca jerebu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), asap jerebu dari titik panas di wilayah Jambi, Sumatera Selatan Indonesia dijangka bergerak merentasi wilayah Riau di Wilayah Sumatera Utara hingga ke arah perairan kawasan Pantai Barat Semenanjung dalam tempoh 24 hingga 48 jam berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:51 AM