DARI kiri, Lim, Pengarah DUKE, Zakaria Shaffie, Pengurus Kanan Ekovest Berhad Ahmad Nasir Mohd Said dan Penolong Ketua Pengurus DUKE Loh Pak Chun pada taklimat pelaksanaan ETC.
Oleh Fazurawati Che Lah


Gombak : Syarikat konsesi Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) menyediakan subsidi RM1.5 juta untuk pengguna kad Touch ‘n Go (T’nG) dan pengumpulan rebat bagi pelaksanaan sistem kutipan tol elektronik (ETC) di tiga plaza tol DUKE, bermula 9 September ini.

Pengarah Urusan Ekovest Berhad Datuk Lim Keng Cheng berkata, insentif itu disediakan bagi menggalakkan penggunaan kad T’nG dan SmarTAG sebagai persediaan beralih ke sistem ETC 100 peratus yang dijangka bermula seawal jam 12 tengah hari pada tarikh berkenaan.

“Lebih RM800,000 disediakan bagi 80,000 kad T’nG dengan tambah nilai sebanyak RM5 yang boleh dibeli pada harga RM5 bermula Julai lalu hingga November, manakala jualan SmarTAG adalah pada harga RM104.95 (harga biasa RM127.20).

“Pengguna kad T’nG juga bakal menikmati lebih banyak manfaat sebagai kad kesetiaan termasuk mendapat rebat tambahan sebanyak lima peratus selama tiga bulan serta boleh digunakan di semua tol,” katanya pada taklimat pelaksanaan ETC di ibu pejabat DUKE, di sini, semalam.

Tiga tol DUKE yang akan menggunakan sistem ETC adalah Plaza Tol Batu, Air Panas dan Plaza Tol Sentul Pasar.

Menurut Lim, beliau yakin pengguna di laluan DUKE akan bertambah selepas pelaksanaan sistem itu kerana ia memberi kemudahan dari segi penjimatan.

“Penggunaan T’nG dan SmarTAG turut menjimatkan masa dan petrol kerana hanya memerlukan tiga hingga enam saat untuk melepasi tol pada satu masa.

“Selepas pelaksanaan ETC, kita jangkakan sebanyak 1,000 kenderaan psetiap jam melalui setiap lorong berbanding 400 kenderaan di lorong tunai ketika ini,” katanya.

Setakat ini, tol kendalian DUKE dilalui sebanyak 150,000 kenderaan pelbagai kelas sehari serta 70 peratus daripada jumlah itu adalah pengguna sistem ETC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:30 AM