KUMPULAN remaja yang ditahan diberi nasihat.
KUMPULAN remaja yang ditahan diberi nasihat.
Oleh Mohd Fadly Samsudin

Serdang: Sekumpulan 111 ‘mat rempit’ yang terkenal dengan aksi berlumba lawan arus tumpas selepas diberkas sepasukan anggota polis menyamar sebagai orang awam.

Dalam operasi khas bermula jam 1 pagi semalam, semua remaja dan belia liar itu sedang merancang untuk berlumba haram di Lebuhraya Besraya (BESRAYA) berhampiran Stesen Komuter Serdang di sini.

Mereka dilihat berkumpul di sebuah stesen minyak di sini, sambil melakukan aksi merbahaya hingga menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan.

Perlumbaan bertambah meriah apabila terdapat ratusan penonton berkumpul di tepi lebuh raya berkenaan bagi menantikan perlumbaan itu.

Bagaimanapun sepasukan 26 anggota polis diketuai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Deputi Superintendan Azmi Wahid bertindak menggempur kawasan itu dalam operasi berakhir jam 5 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, pihaknya memeriksa motosikal yang ditunggangi rata-rata remaja berusia 16 hingga 20 tahun.

“Ini adalah operasi kali ketiga dijalankan selepas pihak polis menerima banyak aduan orang awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memeriksa seramai 111 individu termasuk dua warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati, majoriti mereka melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen, mengubah suai nombor pendaftaran, cukai jalan tamat tempoh, cermin gelap, tiada cermin sisi dan tidak mempunyai insurans.

“Sehubungan itu, pihak kami mengeluarkan sebanyak 84 saman atas kesalahan dilakukan itu,” katanya.

Willey berkata, seramai 12 individu termasuk tiga pembonceng wanita turut diarahkan menjalani ujian air kencing dan hasilnya seorang lelaki didapati positif dadah jenis Amphetamine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:49 AM