Kota Bharu: Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan tujuh murid Orang Asli yang hilang di dalam hutan dekat Pos Tohoi, Gua Musang di sini, sejak 23 Ogos lalu diculik.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan orang ramai dalam melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sudah memasuki hari ke-14 (semalam) sejak kehilangan mereka.

“Polis masih lagi dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa selain melakukan soal siasat ke atas 16 murid Orang Asli yang tidak melarikan diri untuk membantu siasatan.

“Setakat ini masih lagi tiada petunjuk baru daripada operasi SAR walaupun anggota sudah mengikuti laluan jejak kaki di hutan berkenaan. Selain itu, kita sudah menambah bilangan anggota kepada 350 orang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung bagi merancakkan lagi pencarian memandangkan kawasan hutan yang agak luas,” katanya, semalam.

Beliau berkata, sekiranya ia ada kaitan dengan kes culik, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 10:59 AM