Ipoh: Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) memusatkan bekalan makanan dan aset di kawasan berisiko banjir sebagai persediaan menghadapi bencana itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sebahagian besar aset seperti lori dan bot penyelamat serta bekalan makanan ditempatkan di kawasan berisiko banjir bagi memudahkan urusan perpindahan mangsa dilakukan.

“Sebelum ini, aset diletakkan di pejabat daerah bagaimanapun sebahagian besar dibawa ke komuniti manakala sekolah yang dijadikan pusat perpindahan menjadi tempat simpanan bekalan makanan.

“Selepas sebulan, jika tidak berlaku banjir, bekalan makanan itu diserahkan kepada golongan yang memerlukan manakala bot digunakan generasi muda bagi melakukan latihan supaya memantapkan fizikal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Nasaruddin Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Selamat Dahalan dan Pengarah JPAM Perak Mohd Noor Hassan Ashaari Sulaiman.

Shahidan berkata, kementeriannya akan menambah 200,000 anggota JPAM dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.

“Penuntut universiti dan pihak hospital menunjukkan minat menyertai JPAM, jadi kita mempunyai kumpulan kukuh dalam memberi pertolongan cemas kepada mangsa banjir.

“Saya mengadakan perbincangan pengamal media menyertai dapat JPAM. Jadi wartawan bukan sekadar menulis berita tetapi membantu rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 11:03 AM