Ampang: Bekas pegawai hal ehwal murid di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas lima pertuduhan berhubung aktiviti pengubahan wang haram membabitkan RM350,000, tahun lalu.

Tertuduh, Sabariah Kamarudin, 57, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Unaizah Mohd.

Berdasarkan semua pertuduhan itu, dia didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan memindahkan wang yang keseluruhannya berjumlah RM350,000 di dalam akaun miliknya dalam transaksi membabitkan aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat iaitu di Hong Leong Bank Berhad Cawangan Kajang, Jalan Sulaiman, Kajang; Public Bank Berhad Cawangan Kajang, Jalan Raja Haroun, Kajang dan CIMB Bank Berhad, Metro Point, Kajang; Ambank Berhad Cawangan Kajang, Bandar Kajang.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(a), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 6:18 AM