Shahrul Azam memeriksa data individu menerusi sistem biometrik di Makkah.

Makkah: Tabung Haji (TH) melantik 2,513 individu yang didaftarkan menerusi sistem biometrik untuk mengambil upah mengerjakan badal haji bagi musim haji tahun ini.

Pengurus Ibadat Makkah, Shahrul Azam Noor Zeli berkata, sistem biometrik mampu memperkasakan lagi pelaksanaan badal haji yang diuruskan TH.

Beliau ketika ditemui berkata, badal haji dilaksanakan berdasarkan dua sebab iaitu kematian atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh sehingga tidak dapat menunaikan ibadat haji.

Shahrul Azam berkata, TH menerima permohonan badal haji untuk musim ini di tanah air bermula pada 1 Rejab.

“Bagi memastikan pelaksanaan ibadat diamanahkan itu berkualiti, individu yang mengambil upah perlu melalui proses temu duga supaya datanya disimpan dalam sistem biometrik sebagai rujukan,” katanya.

Menurutnya, sistem berkenaan digunakan ketika proses pendaftaran, akad dan pembayaran.

Katanya, kadar upah haji yang ditetapkan oleh TH relevan dengan keadaan semasa iaitu RM2,500.

Beliau berkata, melaksanakan badal haji bukan mudah kerana perlu pengorbanan orang yang hendak melaksanakannya.

Menurut Shahrul Azam, mereka juga manusia dan perlu menjaga kebajikan mereka supaya setimpal dengan apa yang dilaksanakan.

“Dalam akad, kita amanahkan kepada mereka melaksanakan badal haji, perlu menyelesaikan haji dan umrah.

“Ia kerja yang berat serta memerlukan pengorbanan besar, oleh sebab itu kadar itu setimpal dengan apa yang mereka laksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Bahagian Bimbingan Haji TH meneliti siapa diwakilkan kerana ia satu amanah.

Katanya, proses temu duga yang dijalankan bahagian berkenaan, turut mengambil kira semua sudut termasuk sudah mengerjakan haji untuk diri sendiri, bacaan al-Quran dan ilmunya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, individu yang mengambil upah badal haji adalah warga Malaysia, Indonesia dan Thailand yang menetap di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 6:26 AM