Trafik lancar selepas bermulanya transaksi tol tanpa tunai di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, semalam.
Oleh Azma Razana Johari

Perai: Aliran trafik berjalan lancar selepas sistem kutipan tol 100 peratus elektronik dilaksanakan di lima tol di utara bermula jam 12 tengah hari semalam.

Lima plaza tol terbabit adalah Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Kubang Semang, Lunas, Jitra dan Bukit Kayu Hitam.

Pelaksanaan itu serentak dengan beberapa plaza tol di Lembah Klang iaitu Plaza Tol Datok Keramat (AKLEH), Ayer Panas, Batu, Sentul Pasar (Lebuhraya DUKE), Gombak, Bentong (LPT1) dan Terowong SMART.

Ketua Pegawai Operasi Plus Malaysia Bhd (PLUS) Mohammad Fuad Khusairi berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 50 peratus aliran trafik menjadi lebih lancar selepas pelaksanaan sistem berkenaan berbanding penggunaan tunai sebelum ini.

“Sistem itu bertujuan memudah dan melancarkan lagi transaksi tol di plaza tol seterusnya membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selesa kerana transaksi tol yang menggunakan sistem elektronik jauh lebih pantas berbanding transaksi secara manual.

“Lorong SmartTAG berupaya mengendalikan kira-kira 1,200 transaksi tol dalam masa satu jam dan lorong Touch ‘n Go pula boleh mengendalikan kira-kira 550 transaksi manakala lorong manual hanya berupaya mengendalikan 400 transaksi dalam masa sama,” katanya pada sidang media selepas pelaksanaan sistem berkenaan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam.

Mohammad Fuad berkata, sebanyak 14 plaza tol sudah melaksanakan sistem berkenaan daripada keseluruhan 92 plaza tol di seluruh negara.

Beliau berkata, PLUS menjangkakan akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya pada 2017 membabitkan plaza tol terbuka dan tertutup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 6:10 AM