DOUGLAS menunjukkan senapang angin dirampas.
Oleh Cleo Will

Keningau: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun parah pada hidung akibat terkena tembakan senapang angin yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakan sebayanya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Fontas, Nabawan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, mangsa dikejarkan ke Hospital Keningau dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Douglas Taong berkata, hasil siasatan mendapati rakan mangsa mengacukan senapang angin terbabit ke arahnya dan secara tidak sengaja tertekan picu senjata berkenaan.

“Kami merampas senapang angin itu untuk siasatan manakala kanak-kanak lelaki yang tertembak mangsa dibebaskan dengan jaminan polis.

“Bapa kanak-kanak yang tertembak mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa kebenaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, semalam.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari sama di Nabawan, seorang renjer hutan berusia 36 tahun parah di belakang badan dipercayai akibat terkena tembakan ketika berehat di pondok di kawasan hutan di Jalan Sepulut-Kalabakan, jam 8.15 malam kelmarin.

Douglas berkata, mangsa mendakwa ditembak individu tidak dikenali. Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya menyiasat kesahihan perkara itu kerana berdasarkan keterangan diberi mangsa, lokasi kejadian bercanggah.

“Dua kelongsong peluru kosong ditemui di tempat kejadian dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kesahihan kejadian itu.

“Empat rakan sekerja mangsa ditahan untuk membantu siasatan manakala mangsa dirawat di Hospital Keningau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 6:12 AM