Bangunan Muzium Warisan Sekolah Tinggi Muar.
Keadaan dalam muzium Warisan Sekolah Tinggi Muar.
Oleh: Shaiffulazhar Misri

Muar: Bangunan Muzium Warisan Sekolah Tinggi Muar, dekat sini, yang berusia genap 100 tahun diwartakan sebagai bangunan warisan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dari Jabatan Warisan Negara, semalam.

Bangunan yang dibina pada 1915 adalah tapak asal sekolah berkenaan yang dulunya dikenali sebagai ‘Government English School’ (GES), selain menjadi sekolah tertua di daerah itu .

Pengetuanya Jamal Abdullah berkata, pewartaan bangunan muzium sekolah berkenaan sangat dialu-alukan, malah acara rasmi ulang tahunnya akan diadakan pada penghujung tahun ini dengan mengadakan pelbagai acara menarik.

“Sekolah ini menjadi sejarah awal pendidikan di Johor yang ditubuhkan pada 1902 dan ia adalah salah satu bangunan daripada empat bangunan lain yang menerima plak warisan di Johor.

“Antara bangunan yang turut menerima plak warisan bangunan Sekolah Tinggi Segamat dan Bangunan Sekolah Tinggi Batu Pahat,” katanya.

Katanya, bangunan warisan muzium sekolah berkenaan adalah salah satu produk pelancongan pendidikan yang terdapat di daerah itu selain menyediakan pelbagai maklumat yang berguna kepada pengkaji sejarah dan orang ramai.

“Di sini, kita sediakan pelbagai maklumat untuk orang ramai dari sejarah pembinaan, gambar lama kawasan sekolah serta daerah ini, selain tokoh-tokoh yang pernah mendapat pendidikan di sekolah ini satu ketika dulu.

“Pada 2009 hingga 2015, kita menarik lebih 1,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang melawat ke muzium ini,” katanya.

Menurutnya, sekolah itu juga berusaha untuk mempertingkatkan lagi daya tarikan supaya orang ramai datang ke muzium ini seterusnya melawat daerah Muar yang diisytiharkan sebagai ‘Bandar Maharani, Bandar DiRaja’.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan akan hadir pada sambutan ulang tahun diadakan pada Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 11:15 AM