Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Seorang ‘inspektor polis’ dijatuhi hukumun penjara 27 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menyamar sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Di mahkamah sama, tertuduh, Afiz Abdillah Anua, 24, juga mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu gagal menunjukkan kad pengenalan.

Dia membuat pengakuan bersalah atas semua empat pertuduhan selepas faham dengan tuduhan terhadap dirinya yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norina Maludin.

Bagi pertuduhan pertama, Afiz Abdillah didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan diri dan bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25 (1) (n) Peraturan Pendaftaran Negara yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyamar sebagai penjawat awam dan menipu seorang wanita, Saidatul Akma Shaharuddin, 27.

Pertuduhan pertama dan kedua dilakukan tertuduh di Mydin Bazar Melaka, pada jam kira-kira 8.20 malam, 2 September lalu.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa menyamar sebagai penjawat awam dan menipu dua wanita iaitu Nur Amsyiar Amit, 23, dan Nur Jannatin Razak, 19. Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Mydin Melaka Sentral dan di hadapan kilang Infineon, pertengahan Julai 2014.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Foo Yong Luk memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili pelatih dalam kamar merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang singkat selain berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan bagi setiap pertuduhan kedua, ketiga dan keempat serta membenarkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 2 September lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh berkenalan dengan semua mangsa melalui aplikasi WheChat sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat inspektor sebelum mengajak mangsa keluar dan meminjam sejumlah wang atas pelbagai alasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:29 AM