WAJAH suspek berjaya dirakam kamera CCTV.

Kajang: Seorang remaja lelaki bertindak mengalihkan satu papan tulis beroda untuk melindungi dirinya ketika ‘memancing’ wang tabung sebuah surau terletak di Taman Tenaga, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 11.24 pagi itu, tindakan lelaki berusia 20-an itu berjaya dirakam salah satu kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.

Difahamkan, rakaman CCTV berdurasi 1 minit 35 saat itu turut menunjukkan lelaki terbabit berjaya mengeluarkan sekeping wang tunai dari tabung berkenaan.

Menurut sumber, suspek sebelum itu dikesan memerhatikan keadaan sekeliling sebelum mengalihkan papan tulis berkenaan bagi melindungi perbuatannya.

“Berbekalkan alat dipercayai dawai yang ditampal pelekat, lelaki terbabit berjaya mengeluarkan sekeping wang dari tabung yang diletakkan di bahagian pintu masuk surau berkenaan.

“Bagaimanapun, wang yang dilarikan suspek tidak dapat dipastikan jumlahnya,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit didapati datang ke surau berkenaan seorang diri dan ketika kejadian keadaan surau lengang.

“Kemungkinan selepas mendapati tiada lagi wang di dalam tabung berkenaan, lelaki terbabit terus beredar keluar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 4:59 AM