KEADAAN dua kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Sitiawan-Ayer Tawar, semalam.
KEADAAN dua kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Sitiawan-Ayer Tawar, semalam.

Sitiawan: Dua lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3 Jalan Sitiawan - Ayer Tawar berhampiran Sungai Wangi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi, kereta Hyundai Elantra dinaiki enam individu termasuk seorang wanita dikatakan terbabas ketika dalam perjalanan ke Sungai Wangi, di sini, sebelum bertembung kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5.

Akibat kejadian itu, pemandu Hyundai Elantra dan seorang penumpang maut.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu SUV cedera ringan manakala empat penumpang Hyundai Elantra juga cedera termasuk dua parah.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat manakala mereka yang cedera mendapatkan rawatan di hospital sama.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Arbaan Abdul Mokti berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:26 AM