JAMIL (tengah) dan Abdul Azeez (kanan) pada sidang media di  Jeddah, malam tadi.
JAMIL (tengah) dan Abdul Azeez (kanan) pada sidang media di Jeddah, malam tadi.

Jeddah: Tabung Haji (TH) kini menumpukan proses pengecaman jenazah di rumah mayat Muaissem di Mina bagi mengesan dua lagi jemaah haji Malaysia yang masih hilang dalam kejadian kren tumbang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir berkata, tumpuan itu berikutan pemeriksaan di Masjidilharam, hospital dan kawasan sekitar oleh pasukan pemantau TH masih gagal menemui mereka.

“Proses pengecaman di rumah mayat berkenaan dijalankan mengikut prosedur tertentu termasuk pemeriksaan DNA dan biometrik selain ada jenazah tidak sempurna.

“Ia juga perlu melalui proses forensik,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Duta Malaysia ke Arab Saudi Zainol Rahim Zainudin dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Jamil Khir berkata, kehadirannya bersama Abdul Azeez untuk memastikan segala usaha mencari dua jemaah Malaysia yang hilang berjalan lancar selain memberi sokongan moral.

TH juga katanya, akan menumpukan kepada usaha pengebumian jenazah yang sudah dikenal pasti dan ia perlu mengikut prosedur ditetapkan.

“Kerajaan Arab Saudi sudah memberikan kerjasama yang terbaik tetapi mereka juga tidak terlepas mematuhi prosedur tertentu sebelum urusan pengebumian itu dapat dilakukan,” katanya.

Setakat ini katanya, kematian kekal lima orang dan seorang jemaah haji Malaysia sudah ditemui kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 9:56 AM