Makkah: Waris jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam kejadian kren runtuh di Masjidilharam, Jumaat lalu, terharu dengan usaha pihak Tabung Haji (TH) menguruskan jenazah.

Zolkifli Yusoff, 62, berkata, dia mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana urusan pengebumian anaknya, Allahyarham Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, sudah selesai.

Menurutnya, petugas TH banyak membantunya sehinggalah proses pengecaman jenazah.

“Tiga malam saya tidak tidur memikirkan nasib anak, terima kasih kepada semua terutama pihak yang membantu dan rakyat Malaysia yang berdoa,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Noor Harun, 57, suami kepada Allahyarham Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan bersyukur jenazah isterinya selamat disemadikan di Tanah Suci.

“Saya terharu dengan bantuan serta kerjasama TH untuk menguruskan jenazah arwah isteri.

“Saya berdoa arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.

Sementara itu, Che Muda Che Tahir, 73, suami kepada Allahyarham Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan pula berkata, walaupun sedih dengan kehilangan pasangan hidupnya itu, dia reda.

Katanya, kehilangan arwah isterinya memberi kesan kepada jiwanya kerana mereka sudah lama merancang ke Tanah Suci.

“Saya tetap bersyukur dapat menatap jenazah isteri buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan berdoa semoga mereka yang masih hilang akan ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 10:02 AM