SEBUAH sekolah di Kuching ditutup hari selepas bacaan IPU mencatat bacaan tidak sihat.
Oleh Abd Rahman Adam

Kuching: Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 200 pada skala tidak sihat di tujuh daerah negeri ini menyebabkan 463 sekolah dengan 400 sekolah rendah diarahkan tutup semalam.

Sehingga jam 11 pagi semalam, bacaan IPU di Samarahan mencatat paras paling tinggi iaitu 210, manakala Kuching 208 sementara lima daerah lain meliputi Padawan, Bau, Lundu, Serian dan Simunjan masing-masing lebih 200.

Berikutan arahan penutupan sekolah yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), seramai 184,808 pelajar dengan 104,525 pelajar sekolah menengah diarahkan balik pada jam 9 pagi.

Dalam kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini, semalam, walaupun penurunan IPU di kawasan Kuching dan Samarahan setakat jam 4 petang semalam, sekolah di dua kawasan ini akan terus ditutup esok.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah berkata, apabila bacaan IPU menghampiri atau mencecah 200, guru besar atau pengetua di sekolah terbabit perlu menutup sekolah.

Bagaimanapun, katanya, pihak sekolah perlu memaklumkan kepada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) berhubung perkara itu terlebih dulu, sebelum memaklumkan kepada ibu bapa pelajar untuk menjemput anak mereka di sekolah.

“Surat pekeliling sudah diedarkan kepada pihak sekolah mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya IPU menghampiri bacaan amat tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri 2015, di Wisma Wanita di Jalan Sultan Tengah, di sini, semalam.

Fatimah berkata, semua sekolah yang diarahkan tutup hanya dibuka apabila bacaan IPU pulih iaitu pada tahap sihat atau sederhana dan perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 9:46 AM